10 Jenis Aktiviti Bergambar Popular Di Hari Raya

Setiap kali tiba perayaan hari raya, ramai yang akan mengabadikan momen berhari raya dalam bentuk bergambar menggunakan telefon pintar dan kamera. Pelbagai gambar selfie, wefie, foodfie dan sebagainya akan dimuat naik di media sosial untuk sama-sama menzahirkan kegembiraan menyambut hari raya.  

Pelbagai gaya bergambar kita akan akan lihat di hari raya nanti. Ini adalah 10 trend bergambar paling banyak dikongsi di media sosial pada hari raya nanti.

1. Kandid Kamera

Aksi kandid beramai-ramai di belakang kamera. Ianya adalah teknik spontan yang menunjukkan seolah-olah ada seseorang mengambil gambar anda secara curi-curi atau dalam keadaan belum bersedia di hadapan kamera.

Foto Facebook : Neelofa 

2. Gambar Bertiga

Orang kata kalau gambar bertiga, orang tengah dalam gambar akan mati dulu. Zaman cerita-cerita tahyul sudah lama berlalu. Tidak perlulah anda percaya dengan perkara-perkara tahyul sebegini. Gambar bertiga adalah perkara cool anda perlu lakukan bersama rakan-rakan ataupun ahli keluarga.

3. Model Baju Raya

Sudah semestinya kita akan melaram dengan persalinan baru di pagi pertama hari raya. Di hari raya pertama, kedua dan ketiga nanti, ramailah yang akan beraksi di depan kamera seperti gaya model baju raya antarabangsa.

4. Tunjukkan Keluarga Besar

Selalunya kalau anda sibuk dengan selfie berseorangan, di hari raya inilah masanya untuk anda menunjukkan betapa besar keluarga yang anda miliki.

Ajaklah ibu, bapa, adik beradik, ipar duai serta sanak saudara bergambar beramai-ramai sehingga memenuhi ruang kamera.

5. Tema Baju Raya Sedondon

Tema baju raya sedondon sememangnya jadi pilihan bagi kebanyakan ahli keluarga. Memang seronok dapat bergambar bersama bila masing-masing bersepakat dengan warna baju raya yang sama. Ini menunjukkan bahawa keluarga anda mempunyai semangat muafakat dan kasih sayang sehati dan sejiwa sesama keluarga. 

6. Selfie Di Tanah Perkuburan

Di hari raya nanti, janganlah rasa menjengkelkan bila lihat orang berselfie di kawasan tanah perkuburan. Sesetengah kita menganggap berselfie di kawasan tanah perkuburan satu perkara yang tidak wajar dilakukan kerana ia melibatkan sensitiviti moral dalam agama. 

Namun bagi sesetengah orang, ia satu perkara biasa yang dianggap sebagai trend masa kini.  Ingat lagi tak selfie DJ Farish Aziz yang pernah dikecam netizen masa tahun 2014 yang lalu? Kalau takut kena kecam oleh makcik-makcik bawang, jangan sesekali cuba-cuba untuk mengambil gambar selfie di tanah perkuburan. 

Farish Aziz

7. Selfie Dari pagi Sampai Malam

Bagi kaki selfie, peluang inilah yang dinanti-nantikan untuk mereka selfie sepuas hati dari pagi sehingga malam. Inilah masa untuk mereka pamerkan gaya selfie ala-ala artis dengan pakaian serba baru, bergaya, mekap secantiknya dengan penuh kegembiraan.

8. Rumah Terbuka Sana Sini

Bila hari raya, ramailah yang akan mengadakan jamuan atau rumah terbuka. Inilah masanya kita dapat nikmati pelbagai juadah raya yang sedap-sedap secara percuma bermula dari hari raya pertama hinggalah berakhir bulan syawal.

Masa ini anda akan saksikan kenalan media sosial melaporkan dan memuat naik gambar mereka menghadiri rumah terbuka dari pagi sehinggalah ke malam. Terutama pada hari raya pertama, kedua dan ketiga. 

9. Percutian Di Hari Raya

Ada juga yang tidak pulang ke kampung dengan mengambil peluang untuk melancong sama ada ke luar negara atau dalam negara. Bagi anda yang mempunyai ahli keluarga atau rakan-rakan yang memilih untuk bercuti ke tempat lain pada hari raya, cubalah berfikiran positif. Mungkin mereka ada alasan tersendiri yang ingin dipendamkan.

10. Juadah Hari Raya Atas Meja

Pelbagai juadah hidangan akan memenuhi ruang meja pada hari raya. Yang penting semuanya dimasak sendiri dan tentunya sedap-sedap belaka. Tentulah anda ingin berkongsi segala menu yang bakal disajikan kepada tetamu dengan memuat naik gambar di media sosial bukan?

Untuk mendapatkan gambar makanan yang menarik, sediakan prop bersesuaian dengan subjek. Contohnya untuk hidangan rendang ayam, anda wajib menyediakan sama ada ketupat, lemang atau nasi himpit. Prop hiasan seperti alas meja dan bunga juga penting untuk gambar yang lebih menarik.

Facebook Comments