10 Perbezaan Puasa Dulu Vs Puasa Sekarang

15 menu bazar Ramadan boleh dibawangkan

Ada perbezaan tak puasa dulu & puasa sekarang? Bak kata Tan Sri SM Salim dalam lagunya – dulu lain sekarang lain.

Tepat sekali pernyataan beliau kerana terdapat pelbagai perbezaan yang boleh kita lihat kehidupan zaman dahulu dengan zaman sekarang.

puasa dulu vs puasa sekarang

Jauh benar bezanya puasa dulu dan puasa sekarang. Maklumlah dunia dah maju, zaman dah berubah. Amalan dan aktiviti pada bulan puasa pun mula berubah seiring dengan perkembangan teknologi.

aktiviti bulan puasa

Kalau pada zaman dahulu, aktiviti bulan puasa berteraskan amalan kerohanian. Kita digalakkan khatam Al-quran sekurang-kurangnya sekali dalam bulan suci umat Islam ini.

Maka jika ada kesempatan, Al-quran tidak lekang di tangan orang zaman dahulu. Aktiviti bertadarus menjadi keutamaan demi menyemarakkan cahaya Ramadan.

Zaman sekarang, bukan sahaja anak muda yang terleka dengan godaan internet, malah golongan yang sudah berpangkat ibu-ibu dan bapa-bapa juga tidak lekang dengan telefon pintar di tangan sambil membelek laman media sosial seperti Facebook, Instagram, Twitter dan macam-macam lagi. Bak kata pepatah bagaimana acuan begitulah kuihnya.

malam 7 likur

Malam 7 likur merupakan malam-malam dalam 10 malam terakhir bulan Ramadan.

Ketika malam 7 likur ini, masyarakat zaman dahulu sibuk menghias dan mengindahkan kawasan rumah dan kampung dengan panjut sambil ditemani dengan ledakan dan tembakan meriam buluh dan mercun. Ini petanda Aidilfitri tidak lama lagi.

Zaman sekarang walaupun masih ada yang bermain mercun secara sorok-sorok namun ianya tidak meluas seperti dulu. Silap langkah mungkin anda disumbat ke dalam lokap ataupun lebih parah lagi anggota badan anda berkecai ‘dimakan’ mercun.

masak apa hari ini?

Persedian memasak pada zaman dahulu bermula sejak waktu pagi dan selepas waktu Zohor, para ibu mula ‘bersilat’ di dapur bagi menghidangkan juadah istimewa yang dipesan oleh suami dan anak-anak.

Kalau kurang cekap memasak menu yang dipinta, buku resipilah menjadi gurunya. Berbeza dengan zaman sekarang, dalam masa 5 minit sahaja sudah penuh pelbagai juadah di meja makan.

Apa susahnya, hidupkan kereta – pergi ke pasar Ramadan – tunjuk sahaja juadah yang berkenaan di hati – bayar dan bawa pulang – hidang atas meja. Siap.

ponteng puasa

Kalau anda masih kanak-kanak dan belum diwajibkan puasa, ponteng puasa bukannya suatu masalah besar kerana anda masih berlatih dalam menyempurnakan Rukun Islam ke-3 ini. Tak salah kalau buat muka comel kalau orang bertanya sebab tidak berpuasa.

Puasa yang yok

Kalau anda sudah dewasa namun masih ponteng puasa, ini bala besar namanya. Anda sepatutnya malu dengan kanak-kanak yang bertungkus-lumus untuk berpuasa penuh walaupun sehari.

Ramai yang sudah tua bangka ini tersenyum seperti kerang busuk apabila ditangkap oleh penguatkuasa agama apabila membeli makanan pada waktu tengah hari.

Geng plastik hitam yang sakit gastrik rupanya dan berpura-pura berpuasa apabila di depan orang.

sedekah

Amalan bersedekah sangat digalakkan dalam bulan Ramadan kerana ia merupakan salah satu hikmah berpuasa.

Ia mengajar kita untuk merasai kesusahan golongan miskin yang terpaksa berlapar dan dahaga kerana tidak mampu untuk membeli makanan. Pada waktu itu, kebiasaannya sedekah diberikan kepada jiran tetangga yang tinggal berdekatan.

Kini, dengan ledakan teknologi maklumat, amalan bersedekah bukan sahaja boleh dilakukan di kawasan anda sahaja malah boleh dibuat dengan satu klik sahaja ke seluruh dunia.

Anda boleh menderma kepada golongan yang mememerlukan di Kemboja, Palestin, Syria dan negara-negara bergolak yang lain.

solat tarawih

Salah satu tarikan utama yang ada pada bulan Ramadan ialah Solat Sunat Tarawih. Bagi kanak-kanak, inilah peluang untuk bebas daripada ‘perintah berkurung’ pada waktu malam apabila turut serta ibu bapa menunaikan solat sunat ini.

Bukannya nak sembahyang, sebaliknya inilah masa untuk berjumpa dan bermain dengan kawan-kawan.

Apabila semakin dewasa dan mengerti erti Ramadan, kita pun cuba untuk tidak tertinggal walaupun sehari Solat Sunat Tarawih demi mengejar pahala yang berlipat ganda dalam bulan nan suci ini.

suasana berbuka

Suasana di meja makan menjelang waktu berbuka memang meriah dan pasti dikenang tambah-tambah jika anda mempunyai adik-beradik yang ramai. Setiap orang akan mula berkumpul di meja makan seawal 15 minit sebelum berbuka.

Ketika itu, penantian suatu penyeksaan kerana anda hanya dapat menenung makanan tanpa dapat merasai kenikmatannya lagi.

Berbeza dengan sekarang, 15 minit sebelum waktu berbukalah amat dinanti-nantikan kerana ia merupakan peluang bagi anda untuk memuat naik gambar di laman media sosial dengan tanda pagar seperti #DoneMemasak, #MasakSimpleJe, #KetukKetukRamadan dan pelbagai tanda pagar lain yang ingin menunjukkan bahawa anda bertungkus-lumus di dapur padahal semuanya dimasak dengan cinta oleh ibu anda.

tukar juadah

Antara amalan tradisi kemasyarakatan yang semakin hilang ditelan zaman adalah bertukar-tukar juadah dengan jiran-tetangga.

Tradisi ini cukup meriah pada bulan puasa dan hasilnya masak satu atau dua jenis sahaja menu tetapi apabila waktu berbuka sudah penuh dengan pelbagai juadah di atas meja.

Pada zaman sekarang, disebabkan gaya hidup masyarakat moden sentiasa sibuk dengan tuntutan kerja, adakalanya jiran sebelah rumah pun tidak kenal. Jadi bagaimana untuk bertukar juadah berbuka?

waktu berbuka

Ketika teknologi belum maju sepeti sekarang, radio dan televisyen merupakan sumber utama untuk mengetahui waktu berbuka puasa. Selepas waktu Asar, mulalah menunggu pengumuman waktu berbuka puasa di depan kaca televisyen.

Sekarang ini apa susahnya, semua maklumat di hujung jari. Taip sahaja di Google atau semak di aplikasi telefon pintar anda, bila-bila masa sahaja anda boleh mengetahui waktu berbuka puasa.

baju raya

Selepas genap sebulan berpuasa, maka tibalah hari raya yang dinanti-nantikan oleh kanak-kanak terutamanya. Ketika inilah hendak bergaya dengan fesyen terkini dan pastinya tak nak kalah dengan orang lain.

Oleh itu, jika tidak mahu impian memakai baju raya paling cantik tidak musnah, kenalah menempah baju raya lebih awal. Ketika ini, tukang jahit memang tidak menang tangan mengambil pelbagai tempahan baju raya.

Pada zaman sekarang, jika anda tidak menempah baju raya ataupun malas bersesak-sesak membelinya di bazar raya mahupun pusat beli-belah, beli sahaja di dalam talian. Pilih – bayar – dipos ke anda. Mudah bukan zaman dunia tanpa sempadan ini?

Facebook Comments