18 Tempat Makan Menggoda Jiwa Di Bandar Raya Bersejarah

MelakaCarta 5 roti canai halal teratas di Pulau Pinang

Melaka merupakan salah sebuah negeri di Malaysia yang sentiasa menggamit kedatangan para pelancong saban tahun tidak kira sama ada dari dalam mahupun luar negara dek menyimpan pelbagai khazanah sejarah negara.

Makan sedap kat mana di Melaka?

Tidak lengkap kunjungan ke sebuah destinasi menarik seperti Melaka ini jika tidak merasai kelazatan dan kenikmatan hidangan istimewanya. Kata orang, sambil menyelam sambil minum air. Berikut merupakan 18 Tempat Makan Best Of The Best Di Melaka.

1. Malaccafe

Malaccafe yang terletak di tebing Sungai Melaka sungguh istimewa – bukan sahaja kerana makanannya tetapi juga kerana anda boleh menikmati hembusan angin malam dan menyaksikan bot menyusuri sungai sewaktu sedang menjamu selera.

Hidangan kafe di sini adalah berkonsepkan Asian Fusion dan Western. Jadi, anda boleh merasai sendiri kenikmatan makanan Asian Fusion dan Western mereka seperti burger, kek dan piza di sini.

Dengan suasana yang menenangkan, kafe menarik dengan tagline Food For Friendship ini cukup sesuai untuk dikunjungi jika anda datang ke Melaka untuk berbulan madu dalam suasana romantik. Satu tip kepada pengunjung – jangan lupa cuba chilli fries.

2. Nasi Beriani Haji Tamby

Dikatakan sebagai kedai nasi beriani paling enak di Melaka dan pernah mendapat liputan Jalan-Jalan Cari Makan TV3 dan akhbar-akhbar arus perdana sejak mula dibuka kerana mempunyai kelainan daripada kedai makanan yang lain.

Pemilik Beriaani Hj Thamby yakin dengan janji Allah yang seseorang tidak akan miskin jika bersedekah. Oleh itu, beliau menawarkan nasi beriani percuma setiap hari dan anda hanya perlu membayar harga lauk yang anda pesan sahaja.

Harga kari kambing adalah RM 6.00, kari itik pula RM 7.00 manakala ayam goreng pula RM 4.00 sahaja. Ianya memang jauh berbeza dengan kedai-kedai di luar sana yang mengenakan harga di antara RM 10.00 ke RM 15.00 untuk sepinggan nasi beriani.

3. Cendol Bakar

Jika anda ke A’Famosa Resort atau Freeport A’Famosa Outlet, anda boleh singgah di sini sebentar untuk merasai cendol bakar ini. Kenapa cendolnya cendol bakar? Adakah cendolnya dibakar?

Ketika hendak mencairkan gula Melaka sebagai salah satu bahan cendol, mereka melakukan proses pembakaran maka jadilah cendol bakar, dan sebab lain pengasasnya bernama Encik Bakar. Di sini, terdapat pelbagai jenis cendol untuk dicuba.

Harga cendol adalah seperti berikut:

Cendol biasa: RM 2.00
Cendol VVIP: RM 3.00
Cendol VIP: RM 2.50
Cendol Tapai: RM 3.50
Cendol Pulut Tapai: RM 4.00
Cendol Durian: RM 3.50
Cendol Pulut Durian: RM 4.00

Selain itu, makanan ringan lain seperti keropok, western food seperti burger & fries turut dijual di sini. Coconut shake juga dijual tetapi pada harga yang agak mahal iaitu RM 5.00 segelas. Kalau anda tak nak makan di sini, pandu lalu pun boleh. Inilah antara pelopor cendol pandu lalu pertama di Malaysia.

4. Klebang Original Coconut Shake

Klebang Original Coconut Shake telah masyhur di seluruh Malaysia. Merekalah yang memulakan fenomena coconut shake di Malaysia sehingga membuatkan orang ramai sanggup beratur panjang demi mendapatkan coconut shake asli dan pertama di Malaysia ini.

Tidak sah kunjungan anda ke Melaka tanpa berkunjung ke Pantai Klebang untuk merasai sendiri kenikmatan coconut shake apabila mula menuruni kerongkong anda.  Percayalah sekali cuba pasti nak lagi.

Anda perlu kuatkan mental apabila ingin membeli di sini kerana pada waktu kemuncak, orang ramai pasti mengerumuni kedai ini, pesanan anda mungkin mengambil masa setengah jam untuk disiapkan.

5. Roti John Tarik Maelambong

Roti John yang penuh dengan rempah ratus, timbunan daging, cheese Mozarella yang sungguh seksi apabila ditarik dan gabungan sos cheesy yang pedass-pedas berlemak. Awas, makanan ini tidak sesuai untuk anda yang berdiet!

Harga cuma RM 15.00 dengan menggunakan roti yang panjang lagi besar. Boleh makan untuk tiga orang setiap hidangan roti john ini. 

6. Mee Besen Ori Melaka

Kini semua orang boleh makan dalam besen. Jangan takut, mereka tidak memakai besen basuh baju. Mereka memakai besen yang dikhaskan untuk memakan mi sahaja. Oleh itu, isu kebersihan tidak menjadi pertikaian di sini. Mi besen di sini datang dalam pelbagai saiz:

Saiz S: 1 – 2 orang makan | RM 6.00
Saiz M: 2 – 3 orang makan | RM 10.00
Saiz L: 3 – 4 orang makan | RM 15.00

Selain itu, ada juga boleh mencuba talam western. Hanya dengan harga RM 35.00, anda boleh dapat chicken chop, spaghetti, meatball & fries. Kalau anda makan yang ini, anda memang akan kekenyangan sehingga ke pagi.

7. The Old Kitchen Melaka

Sesiapa yang berjalan di Melaka dah puas meronda bandaraya bersejarah ini? Kalau dah puas, mesti lapar nak makan pula kan? Dah alang-alang di Melaka, bolehlah singgah ke kafe The Old Kitchen.

Kalau nak makan hidangan western yang murah-murah, inilah tempat dia. Hidangan western di sini bukan sahaja murah malah rasanya juga sedap! Disebabkan itu, kafe ini sering dipenuhi pelanggan, lebih-lebih lagi penduduk setempat.

Antara hidangan laris di sini adalah Nasi Lemak Lamb Chop, Nasi Lemak Chicken Chop, Nasi Lemak Kukus Ayam Rendang, Lamb Chop Maniac, Cordon Bleu Chicken Grilled, Spaghetti Bolognese dan Meatball Madness. Wahh, sedapnya semua ini.

Tambah menarik, makanan dihidangkan dalam dulang dan air di sini hadir dalam macam-macam bentuk. Kalau tak kuat iman pasti nak semuanya.

8. Roti Naan Pak Putra

Roti Nan Pak Putra di Jalan Kota Laksamana tidak asing lagi bagi rakyat di negeri Melaka. Bagi rakyat Melaka, roti nan pak putra adalah terbaik di negeri Melaka yang tidak boleh ditemui di kedai mamak biasa.

Hidangan roti nan yang lembut dan garing dimakan pula dengan ayam tandoori pastinya menjadi hidangan yang terbaik sekiranya anda berkunjung di sini.

Sekiranya anda meminta hidangan roti nan cheese pastinya anda akan merasakan kelainan apabila anda mula menelan roti ini kerana cheese yang digunakan di dalam hidangan ini merupakan cheese yang terbaik.

Kenikmatan ayam tandoori di sini terdiri daripada 12 jenis ramuan dan rempah-ratus termasuk kacang mete & badam. Sos mint yang mengiringi ayam tandoori juga merupakan satu lagi resipi rahsia yang disediakan dengan 10 jenis rempah, termasuk cili padi.

9. Asam Pedas Matahari Corner

Asam Pedas Matahari Corner kurang dikenali berbanding gerai asam pedas yang lain di Melaka. Kalau tidak percaya, sila google namanya, tidak banyak maklumat tentangnya yang boleh didapati dalam talian.

Namun begitu, jangan ingat yang kurang popular tidak hebat penangannya. Jika anda berkunjung ke sini, menu pilihan orang ramai ialah asam pedas telur ikan dan telur sotong. Itulah keistimewaan restoran ini, balik-balik telur ikan dan telur sotong jugalah yang dicari para pelanggan.

Pekat, likat dan terangkat, di sinilah tempat untuk merasai asam pedas Melaka yang sebenar. Sekali makan pasti nak datang lagi.

10. Ikan Bakar Umbai

Terdapat banyak gerai di sini yang menyediakan makanan laut. Ramai yang memilih untuk makan di sini yang juga dikenali sebagai Restoran Ikan Bakar Parameswara kerana lokasinya sangat strategik.

Anda boleh mencuba kelainan iaitu makan ikan bakar dan menu makanan laut lain dengan nasi lemak, beginilah cara orang Melaka menikmati ikan bakar dan makanan laut mengikuct cara mereka.

Paling menarik, hidangan ikan bakar dan makanan laut di sini dimasak dengan citarasa Melayu, tidak seperti di tempat lain yang menawarkan ikan bakar dan makanan laut dengan rasa masakan Thailand.

Di sini juga, anda boleh melihat pemandangan Selat Melaka dan juga hutan bakau di gigi air. Selain itu, harga ditawarkan juga sangat berpatutan dan pekerja restoran ikan bakar ini sangat peramah. 

11. Dapur Rita

Dapur Rita telah viral di seluruh Melaka sebelum ini dek penangan menyediakan pelbagai masakan selera Singapura yang pasti akan membuat anda datang kembali berulang kali.

Antara menu mereka adalah:

Tulang merah asli pertama di Melaka
Fried carrot cake pertama halal di Melaka (hanya Jumaat, Sabtu & Ahad)
Mi goreng merah pertama di Melaka
Char Kueytiau Singapura
Kacang pool Singapura
Mi Rebus Singaura
Mi rebus ketam lembut
Nasi lemak power Singapore
Nasi lemak ayam, ikan, sotong king dan ketam lembut
Nasi lemak goreng special Dapur Rita
Sate daging & ayam

Ramai yang menyukai sup gearbox Singapura di sini sampai sekali makan terus tidak boleh lupa. Karipap bhai yang popular juga turut dijual di sini dan merupakan yang pertama di Melaka.

12. Calanthe Art Jonker Street

Jangan ingat Kuala Lumpur dan Ipoh sahaja yang terkenal dengan kafe hipster, Melaka pun ada. Calanthe Art merupakan antara pilihan muda-mudi untuk melepak kerana kafe ini memang tenang dan tempatnya juga unik.

Paling penting, makanan di sini kena dengan selera orang Melaka dan menawarkan harga makanan yang sangat berbaloi. Siapa kata makanan di kafe hipster mahal-mahal belaka?

13. Nasi Ayam Gemas Cheng

Menarik mengenai nasi ayam  di sini sini ialah ayamnya. Ayam goreng di restoran ini sangat berbeza dan tidak tahu bagaimana cara untuk mengambarkan kelainanannya. 

Ayam kicapnya digoreng sehingga kulit luarnya rangup tanpa menjejaskan isinya di bahagian dalam.

Kemudian, ayam ditabur bawang goreng di atasnya sehingga menampakkan hidangan begitu menyelerakan. Pelanggan boleh memilih ayam separuh atau ayam suku mengikut selera sendiri.

Selain di Cheng, ada cawangan-cawangan Nasi Ayam Gemas di Segamat, Tampin, Jasin, Bukit Beruang, Wangsa Maju dan terbaharu di Putrajaya.

14. Restoran Selera Ibuku

Pada waktu makan tengah hari, terdapat 40 jenis masakan berlauk yang dihidangkan di sini. Paling menggoyahkan nafsu makan sudah tentunya asam pedas. Kalau anda tidak mahu makan nasi berlauk, anda boleh cuba masakan panas dan masakan nyonya di sini.

Keistimewaan kedai ini adalah ia sedap, murah dan mampu membuatkan para pelanggan rambang mata untuk memilih makanan kerana terdapat pelbagai pilihan seperti:
1. Set asam pedas claypot
(tetel, pari, tenggiri, kembung dan telur ikan)
2. Set masakan Nyonya
(ayam pong teh, ayam/ikan cili garam, ayam/daging kong pow dan kari ayam Nyonya)
(bihun/mi/kueytiau kari laksa Nyonya)
3. Set keli salai/daging salai/patin masak lemak cili api Negeri Sembilan
15. Restoran Sup Lembu Tangkak

Anda berani makan sup lembu di kedai dengan papan tanda merah dan tulisan Cina? Anda mesti takut-takut dan meragui kehalalannya. 

Jangan risau, Restoran Sup Lembu Tangkak ini sebenarnya mempunyai sijil JAKIM dan cukup terkenal bukan sahaja dengan supnya tetapi juga bebola lembunya.

Restoran makanan Cina ini berasal dari Johor dan mempunyai beberapa cawangan termasuk di Kuala Lumpur. Kalau anda nak rasa sup dan bebola lembu yang terangkat, sila cicah dengan sos cili di sini. Lain daripada yang lain.

16. Roti Canai Kayu Arang

Lokasi gerai ini bersebelahan dengan stesen minyak BHP, sebelum simpang ke Bachang di Lebuh AMJ yang menghala ke Bandaraya Melaka iaitu simpang sebelum jambatan ke Melaka Sentral dan Tesco.

Gerai ini begitu terkenal dengan makanan pagi dan tradisional yang biasa kita makan pada waktu pagi seperti roti canai, roti tampal dangdut (telur ayam separuh masak) dan nasi lemak kukus.

Menariknya di sini, semua roti canai ditebar oleh penebar roti canai wanita dan digoreng di atas dapur atau kuali yang menggunakan kayu arang. Semua pasti maklum bahawa harga kayu arang kini tersangatlah mahal.

Namun, pemiliknya tetap mahu mengekalkan cara masakan menggunakan kayu arang dan keunikan rasa roti canainya yang merupakan menu utama yang sering menjadi pilihan para pelanggan yang datang dari seluruh Malaysia.

Oleh kerana tempat ini sentiasa dipenuhi orang ramai, anda dicadangkan untuk datang awal. Kalau tidak, jenuh hendak berebut tempat duduk.

17. Pine & Dine Malacca

Menariknya di sini, mereka menggabungkan unsur hidangan barat dan timur lantas terciptalah satu citarasa baharu iaitu western fusion gaya Malaysia.

Mereka menyajikan daging lembu dan kambing yang diimport berkualiti tinggi yang dihidangkan bersama-sama kentang bakar berkeju. 

Anda boleh pilih nak cicah daging tersebut dengan kuah lada hitam atau sos cili padi. Menarik, bukan?

Lebih menarik lagi apabila pasta seperti aglio olio makanan laut pedas, carbonara ayam dan carbonara pepperoni daging dihidangkan di atas papan buluh. Ini baru betul pertembungan timur dan barat dalam dunia kulinari.

18. Truly Two Cafe

Keistimewaan Truly Two Cafe ini adalah kepelbagaian hidangan manisan dan pencuci mulut yang terdapat di sini yang mampu membuatkan pelanggan tidak duduk diam jika tidak mencubanya.

Antaranya kek, aiskrim, milk shake, wafflesizzling brownies, Magnum ice cream pancakes, San Marco Nutella pizza, bermacam-macam jenis Freakshakes dan pelbagai makanan lain yang menyelerakan. Semua makanan memang mengancam. Rambang mata dibuatnya.

Mula beroperasi dari 1 petang – 9.30 malam (Selasa – Ahad) manakala 2.30 petang – 9.30 malam (setiap Jumaat).

Kafe ini ditutup setiap Isnin. Palin penting, semua makanan di sini halal dan tidak perlu ragu-ragu untuk makan di sini.

Facebook Comments