5 Makanan Paling Popular Di Teluk Intan

5 ‘hiking port rare’ di Perak

Teluk Intan bukanlah sebuah destinasi tumpuan utama para pelancong dalam mahupun luar negara yang berkunjung ke negeri Perak. Bandar ini sering dibayangi oleh Ipoh, Taiping dan Kuala Kangsar dari segi populariti.

teluk intan

Namun begitu, janganlah pula menyangka bahawa tiada tarikan di pusat pentadbiran daerah Hilir Perak ini. Teluk Intan atau juga dikenali sebagai Teluk Anson sebelum 1982 cukup terkenal dengan kepelbagaian dan keenakan makanan gabungan masyarakat melayu, Cina, India, Mamak dan lain-lain lagi yang terdapat di sini.

Ada apa dengan Teluk Intan?

Bukan sahaja terkenal dengan Menara Condongnya sahaja, malah ia turut dikenali melalui 5 gerai makanan paling popular di bandar ini. Tidak sah kunjungan anda jika tidak merasai 5 makanan terbaik yang terdapat di Teluk Intan iaitu:

1. Mi Rebus Mastan Ghani

Mi Rebus Mastan Ghani sangat terkenal dalam kalangan orang Perak. Siapa yang datang ke sini, wajib rasa makanan ini.

Sudah terdapat beberapa cawangan Restoran Mastan Ghani namun lebih seronok jika makan di kedai asal mereka di Jalan Bandar berdekatan dengan Menara Condong. Kedai lama yang kecil dan sempit ini memang tak berubah sejak 30 tahun lalu.

Jika mahu ruang yang luas dan selesa, boleh ke Jalan Selat, Teluk Intan, iaitu jalan menuju ke Kampung Gajah sebelum jambatan merentasi Sungai Perak. Selain Mi Rebus, rojak Mastan Ghani adalah antara menu popular yang wajib dirasai juga.

2. Nasi Beriyani & Ayam Berempah Restoran M.Gulam Rasul

Restoran ini terletak di Jalan Changkat Jong, jalan menghala masuk ke bandar dan berada di sebelah kiri jalan raya. Ia adalah makanan mamak dan restoran ini sudah berusia lebih 25 tahun dan dimiliki keluarga ini sejak turun temurun.

Kari paling sedap di Teluk Intan

Pelbagai masakan kari memang menambat rasa sebaik lalu di lidah dan boleh dikatakan yang paling sedap di Teluk Intan.

3. Aneka Makanan Panas Medan Selera Menara Condong

Medan Selera ini sudah berusia lebih 20 tahun. Di sini, terdapat banyak gerai makanan. Makanannya semua sedap-sedap dan menyediakan banyak pilihan.

Kedudukan Medan Selera ini betul-betul berhadapan dengan Menara Condong, Teluk Intan. Mi bandung yang dimasak panas di Medan Selera ini betul-betul padu. Memang kena dengan tekak bagi sesiapa yang sukakan masakan pedas.

4. Mi Kicap Gerai Chah Sabar Menunggu

Gerai ini terletak di Jalan Mahkamah Teluk Intan. Ia adalah destinasi sarapan yang terbaik di Teluk Intan. Perak memang terkenal dengan Mi Kicap, dan di Teluk Intan, Mi Kicap yang sedap adalah di gerai inilah. Selain Mi Kicap, Kueytiau Sup dan Teh Tarik adalah menu yang mendapat sambutan hangat.

5. Hidangan Udang Galah Restoran D’tepian Sungai

Restoran ini terletak di Dataran Udang Galah yang terletak di pinggir bandar. Udang galah dihidang dengan menu yang pelbagai seperti udang galah bakar, udang galah masak lemak cili api, udang galah masak tempoyak dan macam-macam lagi. Anggaran harga sekitar RM60 ke atas bagi sekilogram udang galah.

Diharap dengan senarai makanan di Teluk Intan yang kami sediakan dapat membantu anda yang datang melawat ke pekan kecil ini untuk menikmati makanan yang enak-enak di sini.

Facebook Comments