Bagaimana Backpacking Ke Cameron Highland Bawah Kos RM300

Tips ke Cameron Highlands ini dikongsi oleh Busa Syafiqqah Shawal.

Pernah ke Cameron Highlands secara backpacking? Aku nak kongsi tentang pengalaman aku backpacking ke Cameron Highlands.

Moga sedikit sebanyak dapat membantu. Cameron Highlands bukan sekadar teh dan strawberi semata mata.

Penginapan Backpacker di Hostel Map Travelodge

Tempahan di Booking.com. Dapat harga RM75 untuk dua malam. Harga hotel biasanya berbeza pada hari minggu dan hujung minggu.

Hostel Maps Travelodge sangat bersih. Layanan dari pihak pengurusan hostel sangat memuaskan dan peramah. Katil sangat selesa walaupun duduk dalam dorm dan lima bintang untuk keseluruhan fasiliti. 

Cukup mudah mencari hostel. Cuma jalan kaki dari terminal bas Tanah Rata. Cari saja Maybank Tanah Rata dan hostel ini terletak di bahagian hujung bangunan.

Ada asrama campur lelaki dan perempuan dan asrama untuk perempuan sahaja. Boleh pilih nak duduk dekat katil yang ada tingkap atau tiada tingkap. Tapi harga pun berbeza sedikit. Tandas  juga bersih.

Jalan-Jalan Cameron Highlands

Banyak bas dari Terminal Bas Bersepadu, Kuala Lumpur terus ke Cameron Highlands. Harga tiket sekitar RM35 sehala. Tapi kalau nak lagi murah disarankan naik bas dari Terminal Bas Pekeliling (Dekat stesen LRT Titiwangsa) dan kemudian naik bas Pahang Lin Siong ke Cameron Highland. Ada tiga perjalanan bas ke Cameron setiap hari. Harga tiket sekitar RM22.

Ada banyak perkhidmatan motor sewa cuma kena pandai cari harga yang paling berbaloi. Harga sewa motor sekitar RM10 untuk satu jam.

Teksi sewa pun ada. Bayaran teksi sewa dalam RM25 sejam. Pemandu teksi akan bawa kita pergi ke tempat yang kita suka.

Pakej Pelancongan Murah

Tapi kalau nak jalan-jalan ke tempat- tempat menarik adalah lebih baik melalui pakej. Ada banyak syarikat pelancongan di Tanah Rata yang menawarkan pakej untuk bersiar-siar ataupun pakej aktiviti lasak. Kena rajin buat kajian sebelum pergi.

Dekat Cameron Highlands ada banyak syarikat yang buat menawarkan pakej melancong sekitar Cameron Highlands. Ada yang bawak jalan-jalan seluruh Cameron Highlands. Ada pelancongan untuk ke Mossy Forest dan Gunung Brincang naik kenderaan pacuan empat roda 4 wheel drive dan banyak lagi.

Antara syarikat yang popular ialah CS Travel & Tours and TJ Nur Travel & Tour. Pakej paling murah berharga RM25 yang akan bawa anda jalan-jalan ke tempat menarik di Cameron Highlands.

Aku ambil pakej Gunung Brinchang Adventure yang berharga RM50. Dalam pakej itu, anda akan dibawa ke ke Mossy Forest, Gunung Brinchang, Ladang Teh BOH, Butterfly farm (pilihan) dan Strawberry Farm. Trip ini untuk setengah hari.

Pemandangan dari puncak MARDI. Foto  : Busa Syafiqqah Shawal

Foto : Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highland

Foto : Taman Agroteknologi MARDI Cameron Highland

Itinerari

Hari Pertama

  • Daftar masuk hotel
  • Jelajah Tanah Rata
  • Taman Pertabalan
  • Mardi Park ( hanya 10 minit jalan kaki dari stesen bas Tanah Rata). Berbaloi untuk dilawati sebab cantik sangat dan ada banyak tempat menarik untuk bergambar terutama alam semulajadi

Hari Kedua

  • Gunung Brinchang Adventure Tour
  • Mossy Forest
  • BOH Tea Plantation
  • Strawberry Farm

Waktu pakej melancong ini habis dalam pukul 2:30 petang. Habis sahaja aktiviti pakej pelancongan terus pergi ambil motor sewa dekat kedai runcit depan MARDI.

Lepas dapat motor aku terus jelajah Cameron Highland. Antara tempat aku pergi ialah Kea Farm, jalan-jalan di Kampung Sedia, Cactus Point, Air terjun Parit dan Pasar Malam Cameron Highlands.

Malamnya pergi makan steamboat di Restoran Steamboat Taman Abang belakang stesen bas Tanah Rata. Satu kepala RM39 makan sampai kenyang.

Hari Ketiga

  • Fragrance Nursery
  • KEA Farm
  • Restoran KHM Strawberry Farm
  • Bee Farm

Hari ketiga ni aku sekadar jalan-jalan sekitar Cameron Highlands. Aku pergi Fragrance Nursery untuk cuci mata tengok bunga.

Selepas itu, singgah KEA Farm borong sayur. Di sini baru jumpa cili paling pedas. Sesuai untuk buat nasi goreng yang sedap.

Ada peniaga Kea Farm jual sayur hanya RM10 utk 10 paket. Kebanyakan peniaga jual 8 paket untuk RM10. Kemudian aku sarapan pagi di Restoran KHM Strawberry Farm, Kampung Sedia. Lepas sarapan terus terus ke Bee Farm.

Akhir sekali, untuk menghabiskan masa aku sekadar lepak di Cameron Square yang terletak bersebelahan Bee Farm.

Dalam pukul 12 pulangkan motor sewa dan selesaikan daftar keluar hotel. Bas balik pukul 2 petang.

Jumlah perbelanjaan :

  • Hostel : RM75.00 ( 2 malam )
  • Bas : Bentong – Raub ( RM3.60 ), Raub – Cameron Highlands ( RM12.30 ), Cameron Highlands – Raub ( RM 12.30 ), Raub – Bentong ( RM 3.60 )
  • Pakej: Gunung Brinchang Adventure Tour ( RM50 )
  • Motor Sewa: RM120/2 : RM 60 seorang
  • Tiket masuk : MARDI Park ( RM5 ). Kebanyakkan tempat yang aku masuk percuma
  • Makan Steamboat : RM39 sekepala
  • Jumlah Keseluruhan : RM 260.80

Tips

1) Bagi yang berhajat ke Mossy Forest and Gunung Brinchang jangan pergi hujung tahun sebab biasanya jabatan Perhutanan akan tutup berikutan cuaca dan kerja baik pulih.

2) Untuk pendakian, boleh mendaki Gunung Irau tapi kena ada jurupandu dan permit.

3) Tempah hotel awal.

5) Menginap di Tanah Rata lebih baik sebab dekat dengan banyak tempat menarik.

6) Jangan lupa lawat Kg Sedia sebab kampung tu memang lawa dan udara pun nyaman.

 

Artikel ini diedit semula dari perkongsian Busa Syafiqqah Shawal

Facebook Comments