Carta 14 Teratas Nasi Kandar Sedap Tapi Kurang Popular Di Penang

nasi kandar29 tempat menarik percuma di Malaysia

Nasi kandar paling sedap berada di Pulau Pinang! Betul tak? Ya, memang tidak dapat disangkal lagi pernyataan tersebut bahawa yang terbaik berada di Pulau Pinang. Di Malaysia, di sanalah tempat kelahiran makanan kebanggaan orang Pulau Pinang, jadi tidak hairanlah anda wajib ke sana jika anda ingin merasainya.

Kedai seperti Line Clear, Beratur, Deen Maju dan sebagainya antara yang popular di sana dan di seluruh Malaysia juga.

Terdapat sebuah ‘rahsia’ orang tempatan berkaitannya yang tidak ingin dihebahkan kepada orang luar. Carta 14 teratas nasi kandar tetapi kurang popular di Pulau Pinang inilah yang sengaja disembunyikan oleh rakyat Pulau Pinang kepada orang luar.

Hanya mereka sahaja yang mengetahui bahawa betapa enaknya 14 nasi istimewa ini. Mana taknya, kalau diviralkan alamatnya kena beratur panjanglah selepas ini. Marahlah orang Pulau Pinang nanti kerana ‘lubuk makan’ mereka dikacau.

1. Nasi Kandar Kampung Melayu

Terkenal sejak tahun 1970-an dalam kalangan masyarakat setempat. Nasik kandar ini beroperasi seawal 7 pagi sehingga waktu tengah hari di Blok A, Flat Kampung Melayu, Air Itam, Pulau Pinang.

Mereka juga membuka sebuah cawangan lagi yang beroperasi pada sebelah malam iaitu di Astaka Desa Mawar, Air Itam. Sesetengah orang kata, yang sebelah malam lagi rancak perniagaannya.

Yang pasti, kuah ikan dengan kuah daging mereka memang terangkat dan mempunyai keunikan tersendiri jika hendak dibandingkan dengan kedai nasik kandar yang lain.

2. Nasi Kandar NS

Antara kedai yang beroperasi 24 jam di Pulau Pinang dalam liganya yang tersendiri. Ada yang panggil ia sebagai Nasi Kandar Sauban juga. Terletak di Jalan Burma berhadapan dengan 7 Eleven.

Ayam goreng dan gulai ikan mereka memang boleh membuatkan air liur meleleh. Identiti kedai ini jika diperhatikan elok-elok adalah pinggan mereka terdapat cop NS. Kedai lain mana ada. Itu yang membezakannya dengan yang lain.

3. Nasi Kandar Deen Jelutong

Ramai yang keliru antara Deen Jelutong dan Deen Maju. Kedua-dua lokasi ini terletak di kawasan yang berbeza. Waktu operasi dan pemilik kedai pun berbeza. Jangan keliru lagi ya.

Keistimewaannya adalah keaslian gulai ikannya yang lain daripada lain. Bertambah sedap apabila dimakan bersama 2-3 biji kacang bendi untuk menaikkan selera. Terletak di Jalan Jelutong dan mempunyai cawangan terbaharu di Relau – Nasi Kandar Deen Baru Relau.

4. Nasi Kandar Ali Amier

Terletak di Jelutong berhadapan Maybank Jelutong. Ia sangat popular dalam kalangan masyarakat setempat. Orang luar tak ramai yang tahu. Rasanya memang membangkitkan selera.

Kuah daging yang pekat kehitaman itulah yang menarik perhatian orang ramai yang datang ke sini. Operasi kedai ini dibuka seawal 6 pagi.

5. Nasi Kandar Pokok Ceri

Terletak di Jalan Air Itam dan berdekatan dengan Pasar Datuk Keramat dan Masjid Datuk Keramat. Istimewanya kuah nasik kandar mereka mampu membuatkan anda menjilat jari. Makan pula bersama-sama papadom lagilah bertambah selera. 

Setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, ada menu istimewa iaitu Nasi Tomato. Nasi tomatonya pun mengancam jiwa dan raga anda.

6. Nasi Kandar Pokok Ketapang

Ia terletak di Hutton Lane bersebelahan dengan Hotel Penaga. Kedai ini beroperasi pada setiap hari selama 24 jam. Istimewanya di sini, rasamnya memang asli dan sangat sedap.

Buat anda yang tidak tahu, rasam adalah sejenis sup herba yang amat bagus untuk memanaskan badan serta memberikan kebaikan kepada kesihatan dalaman tubuh badan. Kebiasaannya, kedai yang otai sahaja menyediakan rasam ni.

7. Nasi Kandar Merlin

Lokasi kedai ini terletak di bawah Hotel Merlin di Jalan Union, Georgetown. Kedai ni dibuka pada waktu makan tengah hari sahaja dan hari minggu ditutup.

Terkenal dalam kalangan pekerja-pekerja pejabat dan bank di kawasan sekitar Union Street. Keistimewaan masakan di kedai ini adalah menu ayam masak hitam bawang, gulai ikan dan sambal kelapa. Siapa makan menu ini pasti teringat-ingat.

8. Nasi Kandar Imigresen

Ia terletak di Lorong Pasar di tengah-tengah kawasan Georgetown. Gerai ini beroperasi di tepi jalan sahaja menggunakan meja lipat dan kerusi. Mereka meniaga di atas kereta roda tiga tetapi keenakkan rasanya memang tidak boleh disangkal lagi.

Sekali makan pasti tersandar kekenyangan. Menariknya lagi, harganya juga murah. Puas hati  apabila dapat makan di sini. Waktu operasinya dari 10 pagi hingga 9 malam dan hari Jumaat ditutup.

9. Nasi Kandar Sulaiman

Lokasi kedai ini terletak di Jalan Utama, Air Itam. Beroperasi seawal pukul 5 pagi sehingga 12 tengahari. Kedai ni juga dikenali sebagai Famous Dhoby Ghout Nasi Kandar.

Kedai legenda ini sangat popular dengan kari ikan dia dan wajib juga cuba gulai sotong mereka. Memang terbaik.

10. Nasi Kandar Shariff

Dahulunya, nasi kandar legenda ini meniaga menggunakan kereta roda tiga di kawasan Pejabat Pos Gelugor. Sekarang ini, kedai ini beroperasi dalam Kompleks Pasar dan Makanan Jalan Permai.

Lebih selesa dan tempat parkir pun senang. Keistimewaannya terletak pada campuran kuah yang memang sempoi. Ayam goreng mereka pun sedap juga. Kedai ini beroperasi dari pukul 5 petang hingga 10 malam dan tutup pada setiap hari Sabtu.

11. Nasi Kandar Rafee

Sejak tahun 1959 telah mula beroperasi, nasi kandar ini boleh dikatakan antara yang terbaik di Pulau Pinang. Lokasinya terletak di  Pulau Tikus, Georgetown berhadapan dengan Balai Polis Pulau Tikus.

Menu istimewanya ialah kari ayam dan ayam goreng berempah. Sapa yang pernah makan, mesti tahu kesedapannya. Gerai yang beroperasi 24 jam ini juga menyediakan hidangan roti canai, martabak dan macam-macam lagi.

12. Nasi Kandar Tajuddin Hussain

Nasi kandar legenda ini sudah beroperasi sejak tahun 1977 dan masih relevan dan setanding dengan lain yang tumbuh bak cendawan selepas hujan di bumi Pulau Pinang ini.

Lokasinya di Little Indian Georgetown iaitu di Queen Street. Lebih kurang 2 minit berjalan dari Masjid Kapitan Keling. Kalau datang ke sini tak makan kurma kambing mereka memang tak sah!

Memang terangkat habis kuah kurma mereka. Di samping itu, ayam masak ros jugak antara menu tarikan utama kedai ini. Boleh dimakan dengan nasi beriani juga jika sudah jemu dengan nasi putih.

13. Nasi Kandar Ali IPD

Kedai yang berniaga di tepi jalan menggunakan kereta roda tiga ini terletak di Jalan Dato Keramat. Kedai ini terletak betul-betul bersebelahan Balai Polis IPD Jalan Dato Keramat.

Kedai ini dibuka pada pukul 6 petang hingga lewat malam. Menu istimewa di kedai ini ialah ayam goreng berempah yang digoreng panas-panas. Jangan lupa minta kerak-kerak ayam untuk dimakan dengan nasi. Memang mengasyikkan.

14. Nasi Kandar Misai Chowrasta

Ada yang panggil Nasi Kandar Misai, ada yang panggil Nasi Kandar Chowrasta. Kedai ini terkenal dalam kalangan generasi emas di pulau mutiara ini.

Kedai ini terletak di Tamil Street bersebelahan dengan Pasar Chowrasta. Gulai ikan mereka memang terbaik. Ketika bulan puasa, ramai yang berbuka di sini. Apabila dengar siren Balai Polis Penang Road berbunyi, barulah boleh makan.

Facebook Comments