Carta 6 Nasi Lemak Rasa Mengancam Di Pulau Pinang

nasi lemakCarta 6 teratas laksa sedap di Pulau Pinang

Nasi lemak merupakan salah satu makanan warisan negara yang kebiasaannya dimakan pada waktu pagi digandingkan dengan teh tarik atau kopi O. Namun kini, ia tidak lagi kelihatan ganjil apabila dimakan pada waktu selain daripada sarapan pagi.

Senarai terbaik Penang

Tabiat orang Malaysia pada zaman sekarang, sebelum tidur pun masih mahu menyumbatnya ke dalam perut terlebih dahulu. Kata mereka, tak lena tidur jika tidak pekena lemak santan yang diadun dengan nasi putih.

Salah satu tempat terbaik untuk menikmati nasi lemak terbaik di Malaysia adalah di Penang, bersesuaian dengan statusnya sebagai syurga makanan di Malaysia. Mari kita lihat senarainya.

1. Ali Nasi Lemak

Dibungkus dalam daun pisang mungkin biasa-biasa saja dan mudah ditemui di banyak tempat, tetapi ada satu kelebihan gerai ini yang menjadikan ia viral di media sosial.

Pelanggan boleh memilih lima jenis lauk untuk dimakan bersamanya iaitu ikan bilis, ikan goreng, udang, sotong, ayam dan ikan masin.

Kelebihan gerai ini juga kerana sambal ikan bilisnya yang sedap. Ikan bilisnya digoreng garing dan dicampur ke dalam sambalnya yang merah. Sambalnya pula tidaklah terlalu pedas.

Harga bagi sebungkus cuma RM1.70 sahaja. Kalau tambah lauk kegemaran, harganya lain pula.

2. Nasi Lemak Liverpool

Sebaik sahaja kaki melangkah masuk ke kafe ini di Batu Lancang di sini, pengunjung seolah-olah seperti berada di Stadium Anfield, Liverpool, England menyaksikan perlawanan bola sepak membabitkan pasukan itu.

Bola sepak bukanlah satu-satunya tarikan di kafe ini kerana rasa hidangan utamanya ini juga “outstanding”. Nasi yang dikukus juga menaikkan rasa dan aroma yang menyegarkan.

Sambalnya tidak mengecewakan walaupun tidak luar biasa tetapi ayam goreng berempahnya amat memukau dan menutup segala kelemahan yang lain. 

3. Uncle Lanz Nasi Lemak

Juga dikenali sebagai nasi lemak longkang disebabkan lokasinya bersebelahan dengan longkang besar.

Sambal ikan bilis yang manis dan ayam gorengnya yang besar, rangup di luar dan lembut dan berjus di dalam membuatkan ia digilai ramai pada waktu makan malam dan lewat malam. Memang penuh di sini.

4. Ali Nasi Lemak Goreng

Sedap ke nasi lemak mamak? Jangan ingat mamak jual tidak sedap pula ya. Ada beberapa gerai mamak di Pulau Pinang yang menjual makanan warisan negara ini yang rasanya sedap. Salah satunya Ali Nasi Lemak Goreng.

Semuanya diadun dan hadir dalam keadaan sempurna – kadar nasi, sukatan santan dan rasa pedas sambal ikan bilis.

Menariknya di sini, mereka juga menjualnya dalam versi goreng. Lain daripada yang lain dan antara hidangan selalu dipesan para pelanggan.

5. Intan Nasi Lemak

Kata orang, jangan menilai sesuatu pada luarannya terlebih dahulu. Jika begitu, tiada sesiapa yang mahu menyinggah kedai ini kerana rupa dalamannya tiada apa yang menarik.

Namun apabila anda mencuba nasi lemak di sini bersama-sama dengan ayam goreng dan sambal udang, rasanya memang menarik dan bukan biasa-biasa. Rugi kalau tak singgah.

6. Amy Nasi Lemak

Di sini, anda akan jumpa rupa sebenar si bungkus comel hijau ini yang sukar untuk dijumpai sekarang iaitu nasi, sambal ikan bilis, timun, kacang yang dibalut dengan menggunakan daun pisang.

Setiap kali anda makan di sini, anda pasti mengimbau kenangan silam memakan hidangan wajib pada setiap pagi ini dalam rupa bentuk asalnya. Harganya juga berpatutan.

Facebook Comments