CINDERELLA AND THE SECRET PRINCE, Misi Menyelamat Putera Raja

Cerita dongeng gadis bernama Cinderella sudah banyak diangkat menjadi filem dalam pelbagai genre.  Kisah dongeng yang ditulis oleh Brothers Grimm ini mula popular selepas Disney menerbitkan filem animasi Cinderella pada tahun 1950.

Kisah dongeng ini begitu popular sehingga ia diangkat sekali lagi sebagai filem animasi 3D terbaharu yang bakal menemui peminat-peminatnya bermula pertengahan bulan Ogos ini.

CINDERELLA AND THE SECRET PRINCE tidak lari jauh daripada plot asal kisah dongeng ini, cuma dibuat perubahan supaya mendapat nafas baru dan menarik kepada penonton-penonton cilik.

Filem ini diarahkan oleh Lynne Southerland yang sebelum ini pernah mengarahkan filem animasi Mulan II dan juga filem The Road To El Dorado. Penulis skripnya adalah Francis Glebas yang sebelum ini pernah menulis skrip untuk The Lion King dan Aladdin.

CINDERELLA AND THE SECRET PRINCE masih mengekalkan kisah hubungan kekeluargaan dan memang sesuai ditonton seisi keluarga. 

Filem CINDERELLA AND THE SECRET PRINCE mengisahkan Cinderella yang pergi ke majlis tari menari di  raja di istana bersama sekumpulan tikus yang menjadi teman-temannya.

Di istana, Cinderella secara tidak sengaja mendapat tahu mengenai satu rahsia besar yang pasti akan menggegarkan dunia.

Gadis itu mendapat tahu bahawa seorang ahli sihir yang jahat telah menukar putera raja sebenar menjadi seekor tikus. Tempatnya pula telah diganti oleh seorang penipu.

Bermulalah kembara Cinderella bersama rakan-rakannya untuk membantu menukarkan putera raja kepada dirinya yang sebenar dan melawan kejahatan ahli sihir. 

Tunggu apa lagi, pasti CINDERELLA AND THE SECRET PRINCE akan dapat menghiburkan anda dan juga penggemar filem animasi. Filem animasi ini akan mula bersiaran di panggung di seluruh Malaysia bermula 16 Ogos.

 

Facebook Comments