Ini Peraturan Yang Mesti Dipatuhi Meghan Markle Sebagai Anggota Keluarga Diraja British

Bukan mudah untuk menyesuaikan diri daripada kedudukan seorang bekas pelakon dan selebriti kepada status keluarga kerabat diraja.

Namun, itulah yang perlu dilalui oleh Duchess of Sussex, Meghan Markle apabila bekas selebriti dan pelakon dari kalangan rakyat biasa ini menikahi keluarga diraja British, Putera Harry pada Mei 2018 yang lalu.

Menjadi salah seorang anggota keluarga diraja British, Meghan dinasihati oleh pelayan diraja British, Grant Harrold untuk mematuhi beberapa larangan yang ditetapkan.  

Larangan Keluarga DiRaja British

Antaranya, Meghan tidak boleh menikmati makanan laut ketika lawatan ke mana-mana negara atau tempat. Ia adalah larangan keluarga British yang sudah lama diketahui umum.

Meghan sebenarnya seorang penggemar makanan laut. Walaubagaimanapun, beliau bersyukur kerana larangan menikmati makanan laut itu hanyalah ketika dalam lawatan. Di waktu privasi, Meghan masih boleh menikmati makanan laut yang menjadi kegemarannya.

Selain makanan laut, memakan bawang putih semasa dalam lawatan juga menjadi larangan keluarga diraja ini. 

Meghan juga perlu memastikan sentiasa membawa persalinan pakaian berwarna hitam ketika dalam lawatan. Ini untuk memastikan mereka mengenakan pakaian hitam apabila kembali dari lawatan jika berlaku kes kematian dari kalangan keluarga diraja.

Sebagai bekas pelakon, Meghan sudah biasa melayan permintaan peminat untuk tandatangan autograf dan selfie bersama peminat. Tetapi kini, Meghan perlu mematuhi peraturan keluarga di raja British iaitu larangan menandatangani autograf. Ini untuk mengelakkan daripada tandatangan mereka dipalsukan untuk tujuan tertentu.

Pada tahun 2010, Putera William dan Putera Charles pernah memecahkan larangan autograf ini dengan memberikan autograf kata-kata semangat mangsa banjir di UK dan dorongan kesihatan kepada seorang pesakit kanak-kanak perempuan.

Bagi aktiviti bergambar pula, Queen Elizabeth dan Putera Harry sendiri pernah menyatakan bahawa tidak menyukai selfie. Begitu juga dengan keluarga diraja British yang lain.

Semasa bergelar artis, Meghan dikatakan aktif dalam dunia media sosial dan penulisan di blog peribadinya, The Tig. Terbaharu, Meghan telah pun mengucapkan selamat tinggal kepada pembaca laman blognya. Kesemua kandungan artikel yang pernah dikongsi sebelum ini tidak lagi boleh diakses.

Meghan juga tidak boleh memiliki sebarang akaun media sosial rasmi kecuali akaun Twitter Kensington Palace yang dikongsi bersama suaminya, Putera Harry, Putera William dan Kate Middleton.

 

Facebook Comments