Ini Tempat Yang Anda Harus Lawati Jika Melancong Ke Kota Bersejarah Goa, India

Goa terletak di bahagian barat negara India. Ia merupakan antara negeri dengan jumlah populasi terkecil di India. Kedudukan Goa yang terletak di pesisir pantai dan lautan menjadikan ia antara destinasi pelancongan yang unik dan berbeza berbanding Delhi dan Mumbai yang sememangnya popular di kalangan pelancong luar negara.

Goa mempunyai bentuk geografi dan keindahan alam kerana ia masih terpelihara dari pembangunan. Dengan keadaan iklim tropika dan panas, Goa menjadi destinasi pilihan kebanyakan pelancong dari Eropah yang ingin lari dari kesejukan musim sejuk di negara mereka.

Dari Malaysia Ke Goa, India

Jika dari Malaysia, anda boleh menaiki Jet Airways yang mempunyai penerbangan terus dari Singapura ke Lapangan Terbang Dabolim, Goa.

Tempat Menarik Di Goa

Apakah keunikan yang dijanjikan bagi pelancong yang terdapat di Goa? Baca seterusnya bagi mereka yang berminat untuk merancang percutian unik di Goa, India.

1. Pantai

Terdapat lebih daripada 20 pantai di seluruh Goa. Setiap pantai mempunyai keunikan geografinya yang tersendiri. Sesetengah pantainya dikelilingi bukit-bukau dan ada pula kawasan pantai yang tanahnya lapang dikelilingi pokok-pokok kelapa.

Antara pantai yang sering dilawati para pelancong ialah Pantai Mandrem, Agonda, Vagator, Baga, Cola, Candolim dan Cavelossim.

Pantai Agonda. Foto : travelspice.com

 

2. Sinquerim Fort

Kubu Sinquerim ini telah wujud sejak tahun 1612. Ia dibina untuk oleh Portugis untuk mempertahankan Goa dari serangan askar Belanda dan Marathas. Ia terletak di selatan pantai Candolim.

Uniknya, pada masa lalu, kubu ini menjadi kubu bekalan air bagi kapal-kapal kerana terdapat sebuah kawasan mata air dalam kawasan kubu.

Kubu itu begitu besar sehingga ia menyelubungi seluruh semenanjung di hujung barat Bardez.

 

3. Dudhsagar Falls

Terdapat beberapa tasik dan air terjun yang menjadi tarikan pengunjung. Antaranya ialah Dudhsagar Falls yang pernah menjadi salah satu lokasi penggambaran dalam filem Bollywood popular lakonan Shah Rukh Khan dalam Chennai Express. Air terjun setinggi 310 meter ini merupakan antara air terjun tertinggi di India.

Dudhsagar Falls

Dudhsagar Falls

 

4. Sahakari Spice Farm

Terletak di Curti, salah sebuah lokasi hijau yang dipenuhi dengan kehijauan alam. Ladang ini ditanam dengan tumbuh-tumbuhan herba yang digunakan untuk rawatan penyakit. Pelancong luar negara sangat gemar mengunjungi ladang ini untuk belajar tentang spesis tumbuhan herba yang wujud di India.

Selain tumbuhan herba, terdapat santuari gajah untuk para pelancong berhibur secara langsung dengan haiwan ini.

Sahakari Spice Farm

 

5. Masjid Safa

Terletak di bandar Ponda. Masjid ini telah dibina lama sejak tahun 1560 semasa pemerintahan Ibrahim Adil Shah I. Masjid ini satu-satunya masjid yang masih tinggal daripada keseluruhan 27 masjid yang dibina oleh Ibrahim Adil Shah I. Lihat sendiri bagaimana uniknya rekaan masjid yang dibangunkan semasa zaman silam.

 

6. Reis Magos Fort

Resi Magos adalah nama Portugis bagi tiga nama raja yang terdapat dalam Bible. Dibina pada tahun 1551 oleh Portugis. Benteng ini dikelilingi oleh dinding laterit yang kukuh dan dilengkapi dengan senjata meriam. Pembinaannya diperluaskan sehingga berakhir pada tahun 1707. Benteng ini dibina untuk kemudahan wazir dan pembesar Portugis dan juga melindungi dari serangan puak Hindu Marathas.

 

7. Old Goa

Kota lama bagi Goa yang wujud sejak abad ke 15 oleh Sultan Bijapur. Ia kemudiannya menjadi pusat pentadbiran bagi Portugis di India semasa abad ke 16 sehingga abad ke 18. Bandar lama ini kemudian ditinggalkan akibat wabak penyakit. Bandar lama yang terletak 10 km dari Panaji ini menyimpan binaan bangunan-bangunan lama termasuk gereja lama yang menyimpan mayat mubaligh kristian katolik yang terkenal iaitu St. Francis Xavier. Beliau adalah individu yang bertanggungjawab memulakan penyebaran fahaman agama Kristian di Goa, India.   

 

8. Muzium

Pelbagai jenis muzium terdapat di Goa. Antaranya muzium Museum of Goa, muzium arkeologi, muzium kristian, muzium penerbangan dan muzium budaya India.

Naval Aviation Museum. Foto : Wikipedia

 

9. Anjuna Flea Market

Salah satu pasar karat dan kraftangan terkenal di Goa. Kebanyakan pelancong dari luar negara akan singgah ke pasar ini untuk membeli buah tangan hasil buatan tangan penduduk tempatan. Antara kraftangan menarik ialah pasu ukiran tangan, barang perhiasan, alat muzik, pakaian tradisional dan lain-lain.

Selain Anjuna Flea Market, terdapat pilihan pasar lain seperti Panjim Market, Calangute Market Square, Mackie’s Night Bazaar dan Mapusa Market.

 

10. Splashdown Waterpark

Bagi mereka yang ingin beralih dari suasana mandi pantai di Goa ke kawasan mandian kolam awam, taman tema air bersaiz sederhana dan ini menyediakan mandian kolam dan gelongsor air yang agak meriangkan.  

Taman tema air ini turut menjadi pilihan bagi kebanyakan pelancong asing dari luar negara terutama bagi mereka yang kembara secara bajet.

 

11. Church of Saint Augustine

Terletak di Old Goa, terdapat peninggalan gereja lama Saint Augustine yang diabaikan sejak tahun 1835. Ia mula ditinggalkan akibat dasar penindasan Portugis pada masa itu yang mula mengusir unsur keagamaan di Goa. Bangunan gereja ini mulai runtuh sedikit demi sedikit sehinggalah tahun 1938, hanya separuh daripada binaannya yang tinggal termasuk bahagian menara.

 

12. Amona Bridge

Amona terletak di utara Goa. Bandar ini dipercayai sebagai bandar silam yang dahulunya aktif dalam aktiviti perdagangan serta wujudnya kawasan penanaman subur di pinggir sungai Mhadee yang kini dipanggil Sungai Mandovi.

Penduduk asal bandar ini dikatakan berasal dari pahlawan Aryan, pedagang dan pentadbir. Salah satu daya tarikan bandar Amona ialah sebuah jambatan sepanjang 510 meter merentasi Sungai Mandovi yang menghubungkan bandar Amona dan Khandola.  

 

13. Tropical Spice Plantation

Satu lagi ladang penanaman pokok herba di Goa. Lokasi terletak kira-kira 6.0 kilometer dari bandar Ponda. Lawatan ke ladang ini membuatkan pengunjung rasa lebih mesra dengan alam. Disamping itu, dapat mempelajari keunikan ciri tradisional yang dinikmati melalui masakan penduduk tempatan.

 

14. Salim Ali Bird Sanctuary

Santuari burung seluas 440 ekar ini terletak di hujung barat Pulau Chorao di sepanjang Sungai Mandovi, Goa, India. Santuari ini boleh diakses dengan menaiki feri di antara laluan Ribander dan Chorao. Kawasan ini turut dikelilingi oleh sungai dan hutan paya bakau.

 

Banyak lagi keunikan Goa terutama lokasi-lokasi pelancongan yang terdapat di Goa. Memandangkan Goa masih terpelihara dari pembangunan, keindahan geografi dan nilai sejarah lama menjadi kepuasan utama yang bakal dinikmati kebanyakan pelancong yang hadir. 

Facebook Comments