Kain Batik Bukan Lagi Hanya Kain Basahan

Kain batik, walaupun si pemakainya tidak tahu cara pemakaian dengan aturan yang betul, tetapi ia adalah satu kain sarung yang sangat penting untuk seorang wanita.

Tidak lengkap dalam sesuatu rumah Melayu sekiranya tidak ada kain batik atau untuk orang lelaki, kain pelikat.

Kain batik ini merupakan pakaian wajib bagi Melayu dahulu. Bukan saja boleh dibuat basahan mandi atau kain penutup kepala, tetapi kain batik yang tinggi kualiti dipakai ketika menghadiri acara rasmi. Kaedah mengecop batik sudah ditemui sejak abad ke-15 Masihi.

Mengenakan kain batik juga ada adabnya.

1. Kepala kain di belakang melambangkan anda sudah berkahwin
2. Kepala kain di hadapan melambangkan anda seorang anak dara
3. Kepala kain sebelah kiri melambangkan anda telah kematian suami atau lebih dikenali sebagai balu
4. Kepala kain sebelah kanan melambangkan anda seorang janda yang bercerai hidup

Bukan orang Melayu di rumpun Nusantara ini sahaja yang mengenakan kain batik, malah masyarakat Baba dan Nyonya turut mengenakan kain batik sebagai identiti kaum wanita mereka. Yang membezakan batik Melayu dengan Nyonya adalah motif hiasan di mana Melayu menggunakan motif organik dan geometrik, sesuai dengan syariah Islam, manakala masyarakat Baba Nyonya gemar memasukkan elemen haiwan dalam corak hiasan batik mereka.

Daripada mengecop menggunakan ubi kentang, hinggalah kayu, kini proses mengecop batik menggunakan cop besi atau terus dikilangkan saja.

Kini batik bukan sahaja eksklusif untuk pemakaian kain sarung. Walaupun masih mengekalkan motif organik dan geometrik, corak yang dihasilkan lebih pelbagai dan kotemporari, sesuai dengan jiwa orang muda dan juga mendapat tempat di persada antarabangsa.

Pemilihan kain batik juga sudah melalui pelbagai evolusi. Walaupun kain sarung batik mengekalkan penggunaan kain kapas, Batik lukisan tangan di atas kain jenis sutera lebih eksklusif dan kini mendapat sambutan bukan sahaja oleh rakyat tempatan atau Asia, tetapi sudah ke persada fesyen di Eropah.

Malah, motif batik juga diadapatasi dalam pengeluarkan barangan keperluan biasa yang menyerlahkan identiti Melayu Malaysia. Ia bukan sahaja menjadi hasil kerja kraftangan untuk dijual kepada pelancong-pelancong asing di sini.

Antara barang-barang yang mengadaptasi penggunaan batik adalah seperti pakaian lelaki dan perempuan, beg lelaki dan perempuan, tempat menyimpan barang, permainan lembut dan sebagainya.

Malah motif batik juga kini digunakan dalam penghasilan aksesori wanita seperti beg dan kasut. Walaupun harganya agak mahal sedikit, tetapi batik yang berkualiti ini tahan lama dan warnanya tidak mudah luntur. Penghasilan kerja tangan ini yang menggabungkan unsur moden dan tradisional, mendapat sambutan luar biasa oleh peminat-peminatnya.

Bagi mereka yang mahu tahu lebih lanjut mengenai batik, bolehlah nanti menghadiri Minggu Gaya Hidup ASEAN (ASEAN Lifestyle Week) yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 8-9 September ini.

Acara yang dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang ini akan memaparkan  produk-produk tradisional dan moden yang dihasilkan oleh industri kecil negara masing-masing. Kira-kira 100 booth disediakan untuk pameran dua hari ini.

Pengunjung boleh menyaksikan sendiri jenis kraftangan yang dihasilkan oleh pempamer yang mengambil bahagian seperti pakaian, eksesori wanita, perabot, hiasan dalaman, ubatan herba, barang hobi dan rekreasi, spa dan kesihatan dan banyak lagi.

Pra-pelancaran pameran ini telah diadakan di Wisma Penyayang pada 9 Ogos dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah Seketariat Kebangsaan Malaysia ASEAN Kementerian Luar Negara, Dato Ahmad Rozian Abd Ghani. Turut hadir Pengerusi Yayasan Budi Penyayang Malaysia Nori Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia, Dato Leela Mohd Ali dan pereka terkenal Selina Yeop Jr. 

Pameran ini dibuka bermula 10 pagi hingga 8 malam pada 8 September dan 10 pagi hingga 7 malam pada 9 September

Untuk makumat lanjut sila hubungi

Yayasan Budi Penyayang 03-8946022

Facebook Asean Lifestyle Week 

tradelinkmarketing@yahoo.com

Facebook Comments