Kerajaan Kaji Sekat Remaja Bawah 17 Tahun Akses Internet Waktu Malam

Kanak-kanak dan remaja di bawah umur 17 tahun di Malaysia selepas ini mungkin akan disekat akses ke Internet mulai waktu tengah malam sehingga enam pagi. Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata langkah-langkah berkaitan sedang dikaji untuk melaksanakannya seperti apa yang dilakukan oleh negara Jepun dan Korea.

Menurut Dr Lee Boon Chye, langkah ini untuk membendung ketagihan kepada permainan video dan media sosial di kalangan remaja di negara ini. Terdapat penyedia permainan video yang akan menyekat remaja di bawah umur 17 tahun daripada mengakses permainan video selama satu sehingga dua jam dan selepas itu talian akses internet itu akan terputus.

Ini adalah antara langkah yang kita cari untuk memastikan ketagihan permainan dapat dikawal,” katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat 13 Ogos 2018 lalu.

Menurut Dr Lee lagi, ketagihan seseorang terhadap permainan video dan media sosial tidak menyebabkan mereka mengalami penyakit mental. Akan tetapi ia akan menjejaskan aktiviti penting seperti kerjaya dan pendidikan kerana ia menyebabkan seseorang terlalu ingin melakukannya. 

Kredit imej: Verywellmind

Satu kajian oleh Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan pada tahun 2017 menunjukkan bahawa 34.9% remaja berusia 13 hingga 17 mengalami ketagihan Internet. Kajian dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia pada tahun 2017 pula menunjukkan 80 peratus daripada 24.1 juta pengguna internet di negara ini mengakses media sosial secara purata selama empat jam dalam sehari. 

 

Facebook Comments