KFC, Pizza Hut Kerjasama Dengan Foodpanda Untuk Penghantaran 24 Jam

QSR Brands (M) Holdings Bhd (QSR Brands), pengendali rangkaian restoran terbesar yang memiliki 1,080 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia, mengumumkan kerjasama bersama foodpanda, penyedia perkhidmatan pesanan dan penghantaran makanan terkemuka di negara ini.

Kerjasama berkenaan adalah bagi mewujudkan akses perkhidmatan yang lebih baik supaya para pelanggan dapat menikmati hidangan KFC dan Pizza Hut dengan lebih mudah.

Buat masa ini, terdapat lebih daripada 320 restoran KFC dan Pizza Hut di Malaysia yang menawarkan perkhidmatan penghantaran menerusi landasan masing-masing.

Perjanjian (MoA) dimeterai menerusi pertukaran dokumen di antara Merrill Pereyra, Ketua Pegawai Eksekutif Divisyen Restoran, QSR Brands dan Sayantan Das, Pengarah Urusan, foodpanda Malaysia, sambil disaksikan Yang Berhormat Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim, Pengerusi QSR Brands, Dato’ Seri Mohamed Azahari Mohamed Kamil, Pengarah Urusan QSR Brands, dan Jakob Angele, Ketua Pegawai Eksekutif, foodpanda Asia Pasifik.

Inisiatif kerjasama bersama foodpanda ini bakal memperlengkap perkhidmatan penghantaran KFC dan Pizza Hut sedia ada dan dijangka akan meningkatkan jumlah cawangan penghantaran KFC dan Pizza Hut di negara ini kepada kira-kira 480 menjelang akhir tahun 2018 dan seterusnya berkembang kepada kira-kira 730 menjelang akhir tahun 2019.

Kerjasama dengan foodpanda merupakan langkah progresif bagi memperluas jaringan melalui usaha mempertingkat perkhidmatan penghantaran kedua-dua jenama restoran KFC dan Pizza Hut.

KFC dan Pizza Hut adalah jenama kegemaran rakyat Malaysia dan berhasrat untuk lebih berusaha memastikan para pelanggan sentiasa merasai pengalaman yang memuaskan apabila mereka memilih untuk menikmati hidangan sama ada di restoran, bawa pulang mahupun penghantaran ke pintu rumah.

QSR Brands bakal memainkan peranan menyeluruh bagi memastikan perkhidmatan penghantaran makanan halal oleh foodpanda akan disahkan patuh halal dari titik mula pengambilan pesanan hingga ke titik akhir penghantaran di pintu rumah, dalam jangka masa terdekat ini.

Pelanggan boleh membuat pesanan penghantaran melalui saluran pelbagai KFC, Pizza Hut serta di platform foodpanda, memberikan fleksibiliti kepada mereka untuk menikmati hidangan lazat KFC dan Pizza Hut pada bila-bila masa, di mana saja dengan hanya beberapa klik.

Perkhidmatan penghantaran makanan telah berkembang pesat di Malaysia sejak 6 tahun yang lalu dan foodpanda telah menyumbang kepada pertumbuhan berkenaan.

Foodpanda berbangga kerana dapat menawarkan dua jenama rangkaian restoran dan makanan terbesar di Malaysia iaitu KFC dan Pizza Hut, di samping lebih daripada 1,900 restoran sedia ada dan kami berharap dapat menyumbang kepada peningkatan khidmat penghantaran KFC dan Pizza Hut.

Perkhidmatan foodpanda untuk KFC dan Pizza Hut akan mula dilancarkan secara berperingkat mulai September 2018 di kawasan Lembah Klang, Johor Bahru dan Pulau Pinang. Perkhidmatan ini juga akan menawarkan penghantaran 24 jam daripada restoran KFC 24 jam terpilih.

Facebook Comments