Muzium Perang NAZI Ini Mampu Buat Pengunjung Terkesima

Muzium perang bawah tanah selalunya digambarkan bersuasana usang dan menakutkan. Sesiapa sahaja yang masuk ke muzium perang bawah tanah akan terkesan jiwanya melihat kesan-kesan sejarah yang ditinggalkan. Muzium bawah tanah merupakan kubu pertahanan bagi tentera semasa zaman peperangan.

Di Malaysia, wujud beberapa muzium perang bawah tanah atau bunker yang boleh dilawati. Antaranya, Muzium Perang Pulau Pinang yang terletak di Batu Maung. Pelbagai kesan lipatan kekejaman zaman tentera Jepun ketika menjajah Tanah Melayu dapat dilihat sehingga mampu memberikan kesan kepada jiwa para pengunjung.

Pada fikiran anda, mungkin itulah perkara yang akan terlintas apabila melawati muzium perang bawah tanah. Tetapi, berbeza pula dengan suasana muzium perang bawah tanah Tirpitz di Denmark. Senibina muzium ini agak moden berbanding dengan muzium perang bawah tanah yang biasa kita lihat.

Muzium Perang Tirpitz, Denmark

Muzium perang bawah tanah yang terletak berhampiran kawasan pantai di Blåvand, Denmark ini dibina di kawasan padang luas dan berpasir.

Bunker yang dijadikan muzium ini telah dibina pada tahun 1944 sebagai sebahagian dari pertahanan bagi bandar Esbjerg.

Akan tetapi pembinan kubu pertahanan ini tidak sempat disiapkan berikutan penyerahan tentera Jerman di Eropah pada tahun 1945.

Pada tahun 2012, rekabentuk bunker ini dilengkapkan dengan ciri-ciri rekaan moden yang kemudiannya dijadikan sebagai muzium perang.

Muzium ini terbahagi kepada empat bilik pameran bawah tanah. Bilik pameran bukan sahaja memaparkan sejarah penglibatan Jerman dalam Perang Dunia Ke-2, malah pengunjung dapat melihat ciri kemodenan pada binaan muzium. 

Dari luar lagi, pengunjung dapat melihat keunikan dinding kaca yang dibangunkan sepanjang laluan tirus di bawah tanah. 

Ia umpama muzium tersembunyi sebagaimana tentera Jerman menjadikan ia sebagai perlindungan atau bunker semasa Perang Dunia Ke-2. 

Bersebelahan dengan muzium bawah tanah ini wujudnya bunker lama dipanggil sebagai Atlantic Wall.

Atlantic Wall merupakan sistem pertahanan dan benteng pantai yang luas dibina oleh tentera Nazi antara tahun 1942 sehingga 1944. 

Bagi kebanyakan pengunjung, Muzium Perang Tirpitz bukan seperti kebanyakan muzium perang lain yang wujud di seluruh dunia. Perspektif muzium sebagai tempat peninggalan barang-barang lama dan bersejarah bukan lagi sesuatu yang membosankan bila ia digabungkan dengan unsur-unsur moden.

Bukan sahaja orang dewasa akan tertarik untuk berkunjung ke muzium sebegini. Malah kanak-kanak juga lebih berminat untuk belajar tentang sejarah negara mereka. 

Facebook Comments