Pelakon Kacak Kelahiran Malaysia Mencipta Nama Dalam Filem Hollywood Crazy Rich Asian

Filem Crazy Rich Asian yang kini sedang ditayangkan di Amerika Syarikat merupakan filem Hollywood pertama oleh Warner Bros yang menampilkan barisan pelakon Asia sepenuhnya dalam masa 25 tahun ini. Filem yang baru ditayangkan selama seminggu di Amerika Syarikat ini dijangka membuat kutipan sebanyak USD$18 juta di utara Amerika sahaja.

Malaysia akan mula menayangkan filem ini pada 22 Ogos 2018. Ia sebuah filem komedi romantik yang perlu anda saksikan kerana dalam filem ini menampilkan dua pelakon kelahiran Malaysia yang hebat. Lokasi penggambaran filem ini berkisar di bandaraya New York dan Singapura.

Antara pelakon terkenal yang membintangi filem ini ialah Tan Sri Michelle Yeoh yang merupakan anak kelahiran Malaysia. Beliau memegang watak sebagai Eleanor Sung-Young iaitu ibu kepada Nick Young iaitu hero utama yang dilakonkan oleh Henry Ewan Golding.

Sinopsis Crazy Rich Asian

Crazy Rich Asian merupakan filem komedi diadaptasi dari novel Crazy Rich Asian oleh Kevin Kwan. Ia mengisahkan tentang pengalaman mencabar yang dilalui seorang wanita muda bernama Rachel semasa melawat keluarga kekasihnya yang berasal dari keluarga terkaya di Singapura.

Selama bercinta dengan Nick, Rachel tidak mengetahui bahawa kekasihnya itu berasal dari keluarga terhormat dan kaya raya di Singapura. Sehinggalah rahsia itu terbongkar dan Rachel membuat keputusan untuk bertemu sendiri keluarga Nick dengan terbang dari New York ke Singapura.

Pertemuannya dengan keluarga antara dua darjat ini menimbulkan konflik dalam diri Rachel apabila terpaksa berhadapan dengan karenah orang-orang kaya yang tidak senang melihat perhubungan cinta antara Rachel dan Nick Young yang dianggap tidak layak mendampingi keluarga yang hidup dalam dunia kemewahan diluar akal fikirannya. 

Crazy Rich Asian

Siapa Henry Ewan Golding

Anda mungkin mengenali Tan Sri Michelle Yeoh sebagai anak kelahiran Malaysia. Tetapi masih ramai yang belum mengetahui bahawa aktor kacak Henry Ewan Golding juga merupakan anak kelahiran Malaysia. 

Pelakon kacukan Iban-Inggeris berusia 31 tahun  ini semakin dikenali di Amerika Syarikat. Dilahirkan lengkap dengan aset wajah yang kacak, Henry Golding sememangnya paling layak memegang watak lelaki kaya dengan penampilan metroseksual yang sempurna.

https://www.instagram.com/p/BjdujaIFFvl/?taken-by=henrygolding

Anak Kelahiran Sarawak & Pengacara TV

Henry dilahirkan pada 5 Februari 1987 di Sri Aman, Sarawak. Bapanya berasal dari England manakala ibunya berasal dari Sarawak. 

Beliau sebelum ini pernah muncul sebagai hos bagi rancangan Quickie di 8TV sekitar tahun 2011. Sebelum menceburkan diri dalam dunia pengacaraan, Henry menetap di England selama 15 tahun sebelum membuat keputusan untuk pulang seketika pada waktu itu ke Malaysia. Sewaktu kepulangan sementara ke Malaysia itulah, Henry mendapat tawaran sebagai pengacara di 8TV. 

Semasa bersama 8TV, Henry turut menjadi hos dalam program Without Boundaries yang disiarkan sekitar tahun 2012. 

Sekitar tahun 2013, Henry meluaskan lagi kerjaya hos di UK dalam rancangan BBC The Travel Show. Tahun 2016, Henry menamatkan zaman bujangnya dengan pengacara TV wanita, Liv Lio. Majlis perkahwinannya diraikan di tanah kelahirannya sendiri iaitu di Sarawak.

Today is a good day ❤️ xx

A post shared by Henry Golding (@henrygolding) on

Pendandan Rambut Yang Hebat

Henry Golding juga dikenali sebagai seorang pendandan rambut yang hebat. Menurutnya, semasa kecil lagi beliau banyak menghabiskan masa bekerja di kedai gunting rambut di UK. Henry mengakui yang dia tidak begitu berminat dalam bidang pendidikan.

Beliau semasa remaja mengambil keputusan untuk menceburkan diri sebagai perantis dalam dunia gaya rambut. Bakatnya digilap di sebuah kedai gunting terkenal di UK iaitu Richard Ward Hair & Metrospa. 

 

Aset yang dimiliki oleh Henry dengan penampilan wajahnya yang kacak, ketinggian yang sempurna dan gaya pengacaraan yang bersahaja di hadapan kamera dengan pertuturan gaya British yang memukau sememangnya membawa tuah kepada Henry. Apatah lagi bukannya mudah bagi kebanyakan anak Malaysia untuk membintangi filem bertaraf Hollywood yang diidam-idamkan oleh ramai pelakon Malaysia. 

Facebook Comments