Percutian Ceria Dengan Patung Comel, Gemuk Di TeddyVille Museum

Teddy bear atau patung beruang boleh dikatakan menjadi pelengkap kehidupan zaman kanak-kanak.

Masing-masing pasti mempunyai teddy bear tersendiri yang menjadi kegemaran dan sering dikelek bersama. Malah, ada yang menjadikannya sebagai teman tidur dan terus meminati patung itu sehingga dewasa.

Maka tidak hairanlah mengapa TeddyVille Museum yang terletak di Batu Feringhi, Pulau Pinang ini tidak henti-henti dikunjungi orang ramai.

 Kredit imej: teddyvillemuseum.com

Ia bukan sahaja yang pertama seumpamanya di Malaysia, malah yang terbesar di negara ini.

Dengan keluasan 9,000 kaki persegi, anda dapat melihat lebih 1,000 patung beruang pelbagai saiz dan bentuk di sini. Apabila anda melangkah masuk ke dalam muzium ini, pasti anda tidak mahu keluar.

Ia bukan sekadar pameran, namun ia menggunakan patung comel itu sebagai medium penceritaan mengenai sejarah, budaya, makanan dan kehidupan masyarakat di pulau mutiara itu.

 Kredit imej: teddyvillemuseum.com

Selain patung yang dipamerkan di dalam cermin kaca, terdapat juga patung yang diletakkan di luar dan menjadi rebutan pengunjung untuk merakam foto bersama khususnya yang bersaiz gergasi.

Paling mencuri tumpuan ialah seksyen ‘miniature’ yang mempamerkan tarikan di negeri itu dalam bentuk model mini yang sangat comel.

Ia juga didatangkan dengan penerangan di dinding mengenai sesuatu sejarah, peristiwa, lokasi dan maklumat-maklumat lain bagi memberi kefahaman kepada pengunjung.

Jadi, mereka yang datang ke sini bukan sekadar dapat menceriakan diri, malah boleh meningkatkan lagi pengetahuan mengenai budaya dan sejarah Pulau Pinang.

 Kredit imej: teddyvillemuseum.com

Beralih ke seksyen seterusnya, terdapat teddy bear bersaiz manusia dalam pelbagai aksi. Ada yang sedang mencanting batik, mendayung perahu, menggunting rambut, membaca akhbar dan sebagainya.

Ia juga diletakkan secara terbuka bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk beraksi mengikut perbuatan teddy bear berkenaan dan merakam foto kenangan.

Pengunjung khususnya golongan kanak-kanak begitu teruja bermain di seksyen ini.

Selain kanak-kanak, penjaga mereka juga kelihatan tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan teddy bear bersaiz manusia.

Kredit imej: teddyvillemuseum.com

Pendek kata, walaupun muzium ini menempatkan permainan yang sinonim dengan kanak-kanak, ia juga ternyata menarik perhatian orang dewasa.

Malah, ia turut menempatkan kedai yang menjual pelbagai cenderamata yang pastinya membuat anda rambang mata.

Bagi yang berminat untuk ke TeddyVille, ia terletak di dalam DoubleTree Resort by Hilton, Batu Feringhi, Pulau Pinang. Tiket bagi kanak-kanak dijual pada harga RM25 manakala RM36 bagi dewasa.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari tedyvillemuseum.com

Facebook Comments