Sate Sri Subang, Sate Paling Popular & Sedap Di Sungai Buloh

Jom kenali 10 sate Indonesia

Sate diketahui berasal dari Tanah Jawa, Indonesia dan dapat ditemui di mana sahaja di seluruh Indonesia. Ia dianggap sebagai salah satu masakan nasional negara Indonesia.

Sate juga popular di negara-negara Asia Tenggara yang lain seperti Malaysia, Singapura, Brunei, Filipina dan Thailand setelah diperkenalkan oleh para pedagang Indonesia. Bukan itu sahaja, sate turut popular di Belanda yang dipengaruhi oleh masakan Indonesia yang dulu merupakan koloninya.

Sate pertama di Kajang

Sate Kajang Haji Samuri merupakan sate yang paling popular di Malaysia. Resipi Sate Kajang Haji Samuri sebenarnya bersusur-galur dari Indonesia. Jualan sate di Kajang dimulakan oleh Tasmin Sakiban pada 1917 yang berhijrah dari Indonesia ke Malaysia bersama saudaranya.

Kini, ia dikembangkan oleh Datuk Samuri Juraimi sehingga berjaya menembusi pasaran antarabangsa. Sebenarnya, banyak lagi restoran dan gerai sate yang sedap dan popular selain daripada Sate Kajang Haji Samuri.

Menurut Liani Aziz, 8 restoran sate iaitu Willy Satay, Sate Kampung Baung Bandar Baru Bangi, Satay Station Tasik Titiwangsa, Satay Family Meru Klang, Satay UK, Zaini Satay, Pak Din Satay Jalan Gombak dan Sate Zainah Ismail Dato’ Keramat dikatakan paling sedap di Kuala Lumpur dan Selangor selain daripada Sate Kajang Haji Samuri.

Sate Sri Subang masih belum didendang

Namun masih ramai yang belum tahu terdapat sebuah lagi gerai sate yang enak, tersembunyi di Sungai Buloh. Restoran Sate Sri Subang ini masih belum dikenali ramai dan hanya diketahui oleh masyarakat setempat dan sekitarnya sahaja.

Ramai yang mengakui rasa dan aroma sate ini lebih sedap daripada Sate Kajang Haji Samuri namun setiap orang mempunyai citarasa tersendiri. Menurut para pelanggan tetap restoran ini, isi sate di sini besar dan tidak mempunyai banyak lemak. Makan 5 cucuk pun sudah kekenyangan menurut mereka. 

Tarikan utama Sate Sri Subang

Ramai yang bersetuju bahawa sate di sini sedap disebabkan ayamnya yang berjus apabila dikunyah dan dagingnya pula lembut membuatkan mereka yang tidak bergigi atau gigi tidak kuat boleh memakan sate daging dengan mudah. Apabila sate ini berada di dalam mulut, perapannya mula tersebar di segenap ruang mulut dan benar-benar terasa rempah perapannya.

Harganya tidak jauh berbeza dengan harga sate yang lain di luar sana iaitu RM 1.00 untuk sate ayam manakala sate daging pula berharga RM 1.20. Ketulan dagingnya besar-besar dan pasti tidak mengecewakan anda apabila dibandingkan dengan harganya.

Kaedah membakar sate juga masih menggunakan teknik tradisional iaitu menggunakan kayu arang dan menggunakan kipas tangan, bukan kipas angin eletrik tau! Aroma kayu arang itu bergabung dengan aroma sate ini, memang menaikkan selera makan.

Tarikan lain di sini selain daripada sate ialah sotong kangkung, mi bandung, makanan bergoreng dan macam-macam lagi. Makanan sampingan ini pun tidak mengecewakan dan sangat disukai oleh ramai orang sebagai makanan tambahan kepada sate.

Lokasi Sate Sri Subang

Gerai Sate Sri Subang ini terletak di simpang Sungai Pelong menghala ke Kuang. Ia dibuka dari 5.30 petang hingga 11 malam dari hari Isnin hingga hari Sabtu. Operasi gerai ini akan ditutup pada hari Ahad.

Waktu kemuncak di sini sekitar 8-9 malam dan anda tidak digalakkan datang pada waktu tersebut kerana perlu menunggu lama untuk hidangan sampai ke meja ataupun terpaksa beratur panjang sekiranya ingin membeli bawa pulang.

Jika anda masih kurang pasti lokasinya, taip sahaja Sate Subang @ Sate Sri Subang pada aplikasi Waze. Jika anda malas untuk memandu, naik sahaja MRT dan turun di Stesen Kampung Selamat, kemudian tempah Grab atau MyCar untuk membawa anda ke restoran paling sedap dan disukai oleh penduduk Sungai Buloh.

Walaupun masih belum popular seantero Malaysia lagi, barisan di restoran ini sangat panjang dan kadang kala mengambil masa sejam untuk menyiapkan pesanan pelanggan – apa kata anda pergi sekarang sebelum ia tular dalam kalangan Malaysia dan anda perlu beratur lebih lama dek penangan viral di laman media sosial.

Gerai Sate Sri Subang

Alamat: Jalan Kuang, Kampung Cempedak, 47000 Sungai Buloh, Selangor.

Nombor Telefon: 019-335 1852

Facebook Comments