Selamat Datang ke HELL FEST

Bagi sesiapa yang suka ke taman hiburan, pasti ada satu tempat tarikan yang memang anda tuju, dan tempat itu biasanya Rumah Hantu.

Tapi bagaimana pula sekiranya tema taman hiburan itu memang sengaja dibuat untuk menakutkan pengunjung?

Selamat datang ke HELL FEST. 

Filem HELL FEST ini berkisar mengenai sekumpulan remaja yang bermulut celupar memasuki sebuah taman tema yang menakutkan. Pada mulanya mereka ingat ia hanya sebuah taman hiburan dengan tema yang menyeramkan, tetapi keadaan bertukar benar-benar menakutkan apabila mereka diekori oleh pembunuh bertopeng.

Filem HELL FEST ini boleh disamakan dengan filem seram yang lain seperti Goosebumps atau One Day at Horror Land, tetapi tahap ‘keseramannya’ dikatakan lebih tinggi. Ia bukan cerita hantu tetapi lebih kepada kisah thriller-seram. 

HELL FEST dibintangi oleh Amy Forsyth, Reign Edwards, Bex Taylor-Klaus, Christian James, Roby Attal, Matt Mercurio dan Tony Todd sebagai Candyman. 

Kisah berkisar mengenai pelajar kolej Natalie (Amy Forsyth) melawat teman rapatnya sejak kecil, Brooke (Reign Edwards) dan teman serumahnya Taylor (Bex Taylor-Klaus). Disebabkan mereka bakal meraikan hari Holloween, mereka membatalkan niat untuk ke bar atau ke konsert.

Sebaliknya mereka ke HELL FEST, sebuah taman tema yang besar dan mempunyai banyak tarikan. HELL FEST memang taman tema yang sesuai untuk mereka bersuka ria meraikan Holloween. 

Namun, bagi satu individu ini, HELL FEST mempunyai satu tarikan yang berlainan. Ia menjadi tempat untuknya mencari mangsa dan melakukan pembunuhan secara terbuka, di hadapan penonton yang menganggap itu hanyalah permainan untuk menakutkan mereka sempena Holloween.

Dengan angka pembunuhan yang semakin meningkat, pembunuh bertopeng itu mengalih perhatiannya kepada Natalie, Brooke, Taylor dan teman lelaki mereka dan memburu mereka di dalam taman tema itu. Kumpulan remaja itu terpaksa mencari jalan untuk keluar dari HELL FEST dan menyelamatkan diri dari menjadi buruan pembunuh bertopeng.

Bagi anda yang menggemari filem seperti ini, jangan lepaskan peluang menyaksikan HELL FEST yang akan masuk panggung 27 September ini.

Facebook Comments