SICARIO DAY OF THE SOLDADO: AS Isytihar Perang Atas Kartel Dadah

Kisah mengenai peperangan antara kartel dadah di selatan Amerika memang menjadi pilihan penerbit dan pengarah dalam menerbitkan dan mengarahkan filem bercorak aksi dan jenayah-thriller.

Namun untuk filem SICARIO: DAY OF THE SOLDADO ini, bukan setakat berkisar mengenai kartel dadah tetapi ia juga mengangkat isu besar yang berkait dan kini menjadi jenayah utama iaitu turut menjadi ‘pengeksport’ pengganas ke negara lain.

Filem SICARIO: DAY OF THE SOLDADO ini merupakan sekuel kepada filem Sicario yang ditayang pada 2015. Seperti filem pertama, ia mengekalkan aktor utama Benicio del Toro dan Josh Brolin.

Turut berganding dalam SICARIO: DAY OF THE SOLDADO ini, pelakon seperti Isabela Moner, Jeffrey Donovan, Manuel Garcia-Rulfo dan Catherine Keener.

SICARIO: DAY OF THE SOLDADO mengisahkan perang dadah di sempadan Amerika Syarikat dan Mexico yang berterusan sehingga keadaan menjadi lebih membahayakan apabila bukan sahaja menyeludup dadah ke negara lain, kartel turut menyeludup pengganas ke Amerika Syarikat.

Ini menyebabkan pihak CIA terpaksa menghantar ejen mereka Matt Graver (Josh Brolin) untuk bekerjasama dengan pembunuh upahan Alejandro Gillick (Benicio Del Toro) untuk menyekat kegiatan kartel-kartel dadah di Mexico.

Alejandro memang menyimpan dendam dengan seorang kartel dadah kerana seluruh ahli keluarganya telah dibunuh. Untuk misi berkenaan, Alejandro menculik anak perempuan ketua kartel dadah yang membunuh keluarganya. Penculikan berkenaan menyebabkan berlaku konflik di antara Matt dan Alejandro. 

Apakah nasib anak perempuan kartel dadah itu dan adakah kedua-dua Matt dan Alejandro berjaya dalam misi mereka?

Semuanya akan terjawab sekiranya anda menonton SICARIO: DAY OF THE SOLDADO yang dijadualkan akan disiarkan di semua panggung di Malaysia bermula 28 Jun ini.

Facebook Comments