Tak Perlu Terbang Jauh, Makanan Istimewa Orang Sabah kini ada di Johor

 

Warga Johor yang meminati sajian Sabah, berpeluang menikmati juadah istimewa itu di Pasar Muafakat Sabah@ Johor yang menawarkan pelbagai menu daripada pencuci mulut hingga makanan laut yang terkenal di negeri di Bawah Bayu itu.

Antara yang menjadi tarikan untuk menu adalah tehe-tehe (landak laut), sianglag, bianban, piutu dan kinilau (ikan peram mangga) yang amat digemari warga Sabah yang merindui masakan kampung halaman terutama mereka yang telah bermastautin di negeri ‘Harimau Selatan’ ini.

Kredit imej: orangsabahan.com

Kebiasaanya, agar-agar laut yang dijualnya dibawa khas dari Kota Kinabalu berikutan ketiadaan bahan berkenaan di Semenanjung.

Agar-agar ini dibeli secara pukal dan diterbangkan terus dari Kota Kinabalu ke Johor memandangkan kos penghantaran dari Kota Kinabalu lebih murah jika dibandingkan dari Semporna.

Cara memasak agar-agar sangat mudah, biasanya ia hanya perlu direndam kemudian direbus bagi menghilangkan bau dan hanyir laut.

Kredit imej: tavern.com.my

Selain agar-agar laut, ‘kinilau’ atau ikan peram mangga juga menjadi tumpuan pembeli di Pasar Muafakat Sabah.

Seperti kerabu mangga, ia diperbuat daripada hirisan isi ikan yang diperam bersama cuka, potongan mangga halus, bawang, cili, gula dan garam secukup rasa.

Kredit imej: juicesky.com

Manakala, makanan berasaskan ubi seperti sianglag, bianban dan piutu, proses penyediaan perlulah awal dari pagi berikutan proses memasak dan melenyek ubi yang memakan masa.

Bianban adalah ubi yang direbus sampai masak, dilenyek dan dibalut dalam kulit pisang dan sianglag serta  piutu juga menggunakan ubi rebus yang dimasak bersama kelapa parut tetapi bezanya sianglag berbentuk seperti nasi kepal dan piutu seperti sosej panjang yang dibungkus dengan plastik.

Kredit imej: orangsabahan.com

Bagi sajian pencuci mulut pula, buko salad merupakan juadah yang seringkali dicari-cari oleh pembeli disini.

Bahan-bahan yang digunakan adalah isi kelapa muda yang diparut dengan tangan, buah-buahan tin dan keju. Ia sesuai dihidangkan sejuk dan rasanya manis.

Jadi tiada masalah bagi warga Sabah di Johor untuk menikmati juadah mereka. Selain itu, orang Johor yang ingin merasa makanan Sabah juga boleh ke Pasar Muafakat untuk merasai sendiri. 

Facebook Comments