Tidur Dengan Ikan Dalam Penginapan Dasar Laut Mewah Di Maldives

Memang sukar membayangkan manusia berada di dasar laut tanpa tangki oksigen dalam tempoh yang lama. Tetapi adakah mustahil untuk bina sebuah bilik atau rumah di dasar lautan yang boleh didiami manusia?

Zaman teknologi yang serba canggih ini, tiada perkara lagi yang mustahil dilakukan termasuk membina kediaman atau penginapan di dasar lautan.

Resort Conrad Maldives Rangali Island, salah satu resort mewah bertaraf lima bintang yang terletak di kepulauan Maldives telah pun menyiapkan sebuah penginapan dasar lautan yang menjanjikan pengalaman menakjubkan bagi mereka yang berpeluang merasainya. Bagi yang dilimpahi kekayaan wang ringgit, merekalah manusia yang mampu menikmati penginapan ajaib dasar lautan ini.

Dengan harga penginapan mencecah RM200,000 semalaman, anda berpeluang merasai pengalaman menginap di dasar lautan. Bilik penginapan berkaca lutsinar ini membolehkan anda baring di atas katil sambil menghayati keindahan alam lautan seperti ikan pelbagai saiz yang berenang-renang dengan bebas di dasar lautan.

Penginapan ini bakal dibuka tempahannya pada penghujung tahun 2018. Ia sekaligus menjadi resort pertama yang membangunkan penginapan di dasar laut dengan dinding lutsinar. Penginap dapat merasai pengalaman sebenar berada di dasar lautan yang biru menghijau.

Sebelum ini, Resort Conrad Maldives Rangali Island telah mewujudkan restoran dasar laut, Ithaa pada tahun 2005. Projek penginapan vila bawah laut ini diberi nama The Muraka ini dilaksanakan pada kedalaman kira-kira 16 kaki di dasar Lautan India. 

Ia dibangunkan dengan teknologi kejuruteraan pembinaan yang canggih dengan dikawal selia oleh jurutera dan arkitek berpengalaman. Selain itu, juruhias dalaman juga didatangkan khas dari Jepun untuk mewujudkan ruang dalaman yang ringkas bercitarasa mewah. 

Vila dua tingkat ini ekslusif ini akan mempunyai sebuah bilik dan katil bersaiz besar, bilik mandi dan ruang tamu di bahagian bawah iaitu dalam air dan tingkat atas di atas permukaan laut. Semuanya akan dikelilingi dengan kaca lutsinar untuk membolehkan pemandangan luar lautan di lihat dari dalam vila.

Kini, anda tak perlu lagi menahan nafas untuk berada di dasar laut lebih daripada 24 jam. 

 

Facebook Comments